SKUAD futsal wanita Kebangsaan terkeluar dari saingan perebutan pingat emas apabila tewas kepada skuad tuan rumah, Vietnam 1-4 dalam aksi kedua acara futsal Sukan Sea ke-31 di Stadium Tertutup Ha Nam.
Selepas berjaya mengelak dari dibelasah teruk oleh Thailand pada perlawanan sebelum ini, skuad wanita negara cuba menampilkan aksi terbaik meskipun berhadapan penyokong setia tuan rumah.
Lima minit sebelum tamat babak pertama, Vietnam berjaya merobek gawang Malaysia sebelum sekali lagi menjaringkan gol kedua berselang tiga minit selepas itu.
Babak kedua menyaksikan pemain-pemain negara cuba beraksi lebih tersusun dengan berjaya mencipta beberapa peluang baik namun dihampakan penyudah yang tumpul.
Gawang Malaysia bocor sekali lagi pada minit ke-25 untuk gol ketika Vietnam sebelum satu lagi gol pada minit ke-31 melengkapkan tiga mata penuh buat Vietnam.
Skuad negara berjaya mendapat gol tunggal dalam temasya ini menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Siti Asnidah pada minit ke-34 selepas bola rembatan Intan Sarah terkena tangan pemain Vietnam.
Malaysia akan turun bertemu Myanmar pada perlawanan terakhir dengan pemenang akan berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam acara yang melibatkan hanya empat negara itu.