SKUAD sepak takraw negara mahu kekal misteri mengenai calon regu yang dipertaruhkan pada Sukan Sea Kemboja, 5 hingga 17 Mei ini.
Malah ketua jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun membiarkan media terus berteka-teki, kerana mahu mengelakkan ianya menjadi perkongsian awam sehingga taktikal regu negara dihidu pihak lawan.
Ahmad Jais hanya akan mengumumkan nama pemain dalam regu yang akan diturunkan, pada saat akhir.

Ketua Jurulatih Sepak Takraw Kebangsaan, Ahmad Jais akan memutuskan senarai pemain mengikut acara masing-masing pada saat akhir bagi mengelak taktikal negara dihidu lawan.
“Kalau kita lihat dalam perlawanan ujian selama empat malam yang kita buat sebelum ini, ada perlawanan yang kita menang dan ada yang tewas. Bagi saya perlawanan ini sesuai untuk saya menjadikan ia sebagai penilaian untuk melihat kelemahan pemain.
“Dari segi gandingan, kita akan lihat dari segi kesesuaian supaya dapat gabungkan mereka mengikut acara sama ada berpasukan, antara regu dan juga acara beregu. Kita akan lihat dari segi kesesuaian untuk ke Sukan SEA nanti,” katanya.

Khairol Zaman antara killer digeruni lawan.
Ahmad Jais menamakan lima apit kanan ke temasya dwi tahunan untuk tujuan strategi perlawanan kerana setiap perejam memiliki variasi gulungan berbeza, yang akan dilihat kesesuaiannya untuk mengatasi Thailand.
“Kalau kita lihat, daripada tahap prestasi pemain muda sedia ada, mereka masih belum mencapai satu tahap yang kita boleh harapkan sebagai pemain utama.
“Kalau kita lihat pemain seperti Azlan Alias dan Khairol Zaman, mereka mempunyai pengalaman yang tinggi di dalam kejohanan peringkat antarabangsa, jadi yang menyebabkan kita bawa mereka sebagai satu nilai tambah untuk digandingkan dengan pemain muda bagi menghadapi Sukan Sea kali ini.”
Antara perejam yang dipertaruhkan kali ini Hafizul Hayazi Adnan, Khairol Zmaan Hamid Akhbar, Azlan Alias serta dua nama yang dikekalkan dari skuad Sukan Sea lalu, Noraizat Nordin dan Afifudin Razali.