KEJAYAAN skuad bola tampar negara menjuarai Kejohanan Tri Nations Series, semalam memberi motivasi kepada pemain untuk beraksi cemerlang di Sukan Sea Kemboja, Mei depan.

Kemampuan Malaysia A mengatasi Kemboja 3-1 di final itu membuktikan bahawa skuad bola tampar negara mempunyai masa depan yang cerah dan memerlukan pendedahan berterusan.

Pengurus skuad bola tampar dalam dewan lelaki ke Sukan Sea, Hanif Basree Abd Rahman berkata, kejayaan menjuarai kejohanan antarabangsa itu sememangnya menajadi penyuntik semangat apa lagi skuad negara tidak berada pada ranking yang baik.

“Kemenangan ini pastinya hadir selepas kita melakukan persiapan rapi sejak tahun lalu menerusi Liga MAVA dan SOOKA.

“Kejohanan Tri Nations Series ini pula sebagai medan terakhir buat skuad negara menguji kemampuan sebelum beraksi di Sukan Sea,” kata Hanif ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Pada kejohanan itu, Malaysia menghantar dua pasukan iaitu Malaysia A dan B, bersaing dengan Singapura dan Kemboja.

Menurut beliau, skuad Kemboja mempunyai reputasi besar selaku pemenang pingat gangsa pada temasya di Hanoi.

“Kejohanan ini amat bagus sebagai persiapan pasukan kerana Kemboja sebuah pasukan yang bagus dan berpengalaman, dibarisi pemain kebangsaan.

“Apa yang saya lihat, kelebihan pemain Malaysia A ini adalah mereka bagus dari segi melakukan placing dan lebih matang dalam permainan,” katanya.

Pada final Ahad lalu, skuad Malaysia A menewaskan Kemboja 19-21, 25-18, 25-21, 25-23 untuk menjulang kejuaraan dalam aksi berlangsung di Dewan Bola Tampar MBSA, Seksyen 4, Shah Alam.

Ditanya mengenai persiapan pasukan, Hanif berkata, barisan pemain yang akan mewakili negara ke Kemboja belum diputuskan, namun beliau menegaskan komitmen pemain menghadiri latihan seperti ditetapkan dijadikan keutamaan.

Mengulas cabaran di Kemboja nanti, Hanif berkata, Indonesia dan Thailand tentunya dua pasukan yang dominan di pentas Asia Tenggara.

Pada Sukan Sea Hanoi, Indonesia muncul pemenang pingat emas manakala Thailand perak.