ATLET sukan esktrem negara Mohd Redha Rozlan atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Redho’ mempunyai jiwa yang besar untuk membalas dendam kekalahan di Sukan SEA 2019 apabila hanya tewas setengah saat kepada atlet Filipina pada saingan temasya dwitahunan tersebut.
Biarpun umurnya telah menjangkau usia 34 tahun, namun Redha yakin mampu memberi cabaran bagi memburu emas dalam saingan acara ‘Obstacle’ pada Sukan SEA 2023 Kemboja Mei ini.
“Kalau nak ikutkan jiwa saya ini No. 1 adalah menang dan No. 2 adalah kalah. Walaupun orang lain kata naik podium itu kira baik, bagi saya tidak. InshaAllah, tahun ini kita akan balas dendam apa yang kita terlepas sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui media pada Isnin.
Menjelang saingan Sukan SEA Kemboja kali ini, atlet negara tersebut menjangkakan cabaran sengit bakal hadir dari atlet Filipina.
Jelasnya, atlet Filipina mempunyai fasiliti dan peralatan yang lebih canggih berbanding Malaysia sekaligus meletakkan mereka pada prestasi terbaik.
“Filipina memang telah ‘khatam’ dengan setiap halangan itu. Mereka memang telah bersedia.
“Saingan sengit adalah dari Filipina kerana mereka yang mencipta semua halangan ini,” katanya.
Selain itu, persiapan Redha menjelang Sukan SEA Kemboja kali ini adalah pada tahap terbaik meskipun sedar suasana venue pertandingan di Kemboja dan di Malaysia adalah agak berbeza.
Bagaimanapun, dengan informasi ukuran dan spesifikasi yang telah diberikan, Redha yakin Malaysia mampu membalas dendam dengan merangkul emas di bumi Kemboja.
“Sebenarnya dekat Malaysia dan dengan yang di tempat pertandingan sebenar adalah sangat berbeza. Tetapi mereka telah bagi ukuran. Jadi, kita boleh suaikan dan cuba sebaiknya,” jelasnya.