SKUAD Taekwondo negara mengharapkan gandingan pingat perak Kejohanan Dunia Taekwondo tahun lalu, untuk membawa pulang pingat dari temasya di Kemboja Mei depan.

Jurulatih Taekwondo Kebangsaan (Poomsae), Yap Yih Tiing berkata, gandingan campuran Nurul Hidayah Abdul Karim dan Jason Loo menjadi harapan utama Poomsae selepas pencapaian cemerlang di Kejohanan Taekwondo Poomsae Dunia di Goyang, Korea Selatan, tahun lalu.

Yap Yih Tiing harapkan prestasi atletnya di Kejohanan Dunia tahun lalu dapat diteruskan di Kemboja.

“Kita sasarkan emas dalam acara mix pair, kerana berdasarkan prestasi di Kejohanan Dunia tahun lalu, Nurul Hidayah dan Jason hanya tewas kepada juara dunia dari Taiwan dengan beza 0.002 mata sahaja, jadi peluang terbaik kita daripada mereka berdua,” kata Yih Tiing.

Selain itu, Yih Ting berkata, acara acara berpasukan wanita (tiga sepasukan) juga berpeluang cerah meraih pingat di Phnom Penh.

Pada Kejohanan Dunia tahun lalu, gandingan Nurul Hidayah, Nur Humaira Abdul Karim dan Lim Jia Wei meraih pingat gangsa, berkongsi kedudukan dengan Thailand.

Ketua Kontinjen Datuk Mohd Nasir bersama dua Timbalannya, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee ketika lawatan kem latihan Poomsae Taekwondo negara di MSN.

Begitupun, Yih Tiing berkata, program latihan skuad Poomsae negara terpaksa diubah suai berikutan ada kesilapan dalam program.

“Kita baharu pulang dari Kejohanan Taekwondo Asean di Filipina, mendapati ada kesilapan dalam program latihan, jadi saya sudah ubah suai bagi memantapkan dan menjadikan skuad Poomsae kita lebih kuat.”

Menurutnya, pada kejohanan berlangsung 10 hingga 12 Mac itu, negara pesaing Sukan SEA seperti Thailand tidak menghantar pasukan, manakala Indonesia menghantar beberapa atet sahaja berbanding Filipina yang menjadi tuan rumah, menghantar terlalu ramai atlet sehingga sukar menentukan siapa bakal menggalas cabaran di Kemboja.

Menurutnya, dia tidak meletakkan harapan tinggi kepada acara berpasukan lelaki kerana pasukan yang ada baharu ditubuhkan.