PENGURUS skuad futsal B-19 negara, Datuk Mohd Hisamuddin Yahya meminta kelab dan persatuan negeri untuk memberikan ruang kepada pemain menumpukan sepenuh perhatian kepada kempen Kejuaraan Futsal Bawah-19 ASEAN 2025 di Nonthaburi, Thailand.

Beliau berkata semua pihak perlu menghormati komitmen pemain dengan pasukan kebangsaan sebelum membincangkan urusan kontrak atau penampilan bersama kelab masing masing.

“Saya memohon kepada klub atau FA Negeri bagi kebebasan pemain-pemain bermain untuk pasukan kebangsaan dulu dan tunggu sehingga mereka balik daripada thailand,” katanya ketika latihan hari pertama di Futsal Arena FAM petang tadi.

Menurutnya fokus utama ketika ini adalah memastikan barisan muda negara berada dalam keadaan terbaik sepanjang kejohanan yang merupakan edisi pertama bagi kategori berkenaan.

Hisamuddin menegaskan beliau percaya kepada kerja keras dan disiplin pemain yang kini giat menjalani latihan serta persiapan rapi di peringkat akhir.

“Dari segi persiapan mental, dan kesungguhan, saya yakin pasukan bawah-19 tahun ini lain daripada pasukan-pasukan yang kita pernah panggil sebelum ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, sebanyak dua puluh pemain telah dipilih untuk menyertai latihan rasmi sebelum empat belas pemain yang terpilih untuk ke Thailand pada 16 Disember nanti. 

Skuad negara bakal bertemu pasukan Myanmar untuk perlawanan pertama peringkat kumpulan pada 23 Disember, diikuti menentang pasukan Kemboja pada 24 Disember, dan Indonesia untuk perlawanan akhir peringkat kumpulan pada 25 Disember nanti.

FOTO:FAM