ATLET angkat berat Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri berjaya meraih pingat emas pertama dalam sukan angkat berat Sukma 2022 selepas mengungguli acara wanita 45 kilogram akhir di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya.

Afiqah muncul juara kategori ini selepas berjaya mengangkat bebanan 55kg bagi acara snatch dan 80kg bagi acara clean and jerk yang juga memperbaiki rekod kebangsaan miliknya.

Bagaimanapun dia agak terkilan apabila rekod kebangsaan yang dilakukannya itu tidak diiktiraf akibat acara tersebut tidak dianjurkan oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Afiqah dalam acara snatch

“Pingat emas ini sangat bermakna buat saya kerana sebelum ini saya berjaya meraih emas pada Sukma 2018 namun ditarik balik. Kali ini, saya bukan sahaja dapat emas, tetapi berjaya memecahkan rekod kebangsaan milik saya sendiri dalam disiplin clean and jerk. Dulu 77kg sekarang saya berjaya buat 80kg.

“Bagaimanapun saya sedih kerana difahamkan rekod kebangsaan itu tidak dikira. Jadi saya harap mereka boleh iktiraf semula kerana saya sudah buat yang terbaik,” kata atlet berusia 22 tahun itu kepada media.

Sebelum ini, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan mengumumkan untuk menarik diri daripada mengendalikan sukan itu susulan tiga atlet dari dua negeri terbabit dengan isu doping

Insiden itu memaksa badan induk sukan angkat berat itu ‘meninggalkan’ Sukma dengan mengikut ketetapan seperti diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 dan Mesyuarat Exco PABM, sebelum ini.

Ketetapan itu menyatakan sekiranya terdapat atlet ahli gabungan atau persatuan negeri yang positif doping, penyertaan atlet berkenaan dan atlet lain dalam ahli gabungan atau persatuan negeri yang ada di antara atletnya positif doping akan digantung dari Sukma 2022.