TERENGGANU mengesahkan dua atlet angkat beratnya antara tiga yang gagal dalam ujian doping dan tidak dibenar bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma XX) .
Ketua kontinjen Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, beliau belum menerima maklumat lanjut dua atlet terbabit dan sebarang tindakan hanya akan diputuskan sebaik temasya berakhir.
“Memang ada atlet Terengganu terlibat tapi saya sendiri tidak tahu nama kedua-dua atlet itu.
“Berdasarkan peraturan, setiap atlet yang positif akan dilarang daripada menyertai SUKMA. Tindakan selanjutnya akan diambil apabila kita kembali ke Terengganu. Kita lihat dahulu sama ada atlet itu mahu buat ujian kali kedua atau tindakan lain,” katanya, ditemui selepas majlis makan malam sempena Sukma 2022, Isnin malam.
Tun Ahmad Faisal mengakui kecewa dengan kontroversi yang menghantui dua atlet angkat berat negeri itu tetapi berharap ia menjadi pengajaran berguna bukan saja kepada kontinjen Terengganu tetapi atlet dari negeri lain juga.
“Setiap kali berlaku perkara seperti ini memang kita akan berasa kecewa kerana ia juga melibatkan sukan negara. Kami sudah ambil langkah-langkah peringatan kepada semua atlet dan jurulatih untuk berjaga-jaga dengan bahan yang diambil.

Ketua Kontinjen Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak pada Majlis Makan MAlam Sukma 2022 bersama Menteri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
“Jangan sampai tersilap ambil, sebab sudah banyak kali alasan tersilap ambil, kita ingat ubat lelah atau ubat batuk. Jadi alasan sebegini kita sudah tidak boleh terima. Kalau sakit pun, kita kena ambil ubat-ubatan yang dibenarkan.
“Ini adalah pengajaran kepada kita dan juga kepada kontinjen lain juga. Harap pada Sukma 2024 nanti, kes seperti ini semakin berkurang,” katanya.
Terdahulu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat, dalam satu kenyataan semalam berkata, badan induk itu menarik diri daripada mengendalikan sukan angkat berat pada Sukma kali ini.
Penarikan diri PABM itu susulan tiga atlet daripada dua negeri bertanding, positif doping, selaras dengan ketetapan yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 dan Mesyuarat Exco PABM, sebelum ini.
Ketetapan itu menyatakan sekiranya ada atlet ahli gabungan ataupun persatuan negeri yang positif doping, penyertaan atlet berkenaan dan juga atlet lain dalam ahli gabungan mahupun persatuan negeri yang memiliki atlet positif doping akan digantung dari Sukma 2022.
Namun, Majlis Sukan Negara (MSN) tetap mahu meneruskan acara berkenaan, bagi membolehkan atlet bertanding ekoran ketiadaan kejohanan di peringkat akar umbi sepanjang tempoh gawat, COVID19.