PENERJUN kebangsaan, Betrand Rhodict pernah berputus asa dari meneruskan kehidupan sebagai atlet sukan terjun, semuanya gara-gara terpaksa bangun awal pagi.
Namun, niatnya itu dibatalkan selepas bertemu idolanya, Brian Nickson Lomas yang memberi nasihat dan bimbingan, agar terus kekal dalam sukan terjun.
“Masa itu sukar untuk menerima perubahan yang memerlukan saya bangun awal pagi untuk menyertai latihan sebelum ke sekolah,” katanya.
Mujur hasrat berhenti itu cukup berbaloi apabila dia menang pingat emas 10 meter (m) platform lelaki akhir di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil pada Khamis.
Atlet Sarawak berusia 17 tahun itu mengumpul 395.05 mata untuk mengungguli saingan, manakala, perak menjadi milik rakan sepasukannya, Elvis Priestly (372.10 mata) dan penerjun Sabah, Muhammad Anilrian Normatrud Abdullah merangkul gangsa (321.90).
Melihat penguasaan penerjun Sarawak dan Sabah dalam sukan terjun pada temasya kali ini, pemenang gangsa Sukan SEA Vietnam itu berkata, penguasaan itu sudah dijangka berikutan atlet kedua-dua negeri itu berada dalam skuad kebangsaan.
“Sarawak juga memiliki dua orang jurulatih dari China dengan salah seorang daripadanya merupakan ketua jurulatih. Mereka jurulatih yang sangat bagus, jadi saya fikir itulah faktor yang menjadikan pasukan terjun Sarawak berkualiti,” katanya yang memenangi satu emas dan dua perak pada temasya kali ini.