MAJLIS Sukan Negara (MSN) mengesahkan sukan angkat berat diteruskan biarpun dipalit skandar doping sehingga menyebabkan tarikh permulaan acara itu ditunda sehari.

Timbalan Ketua Pengarah MSN (Strategik) Suhardi Alias berkata, Sukan Malaysia (Sukma) adalah pentas mencungkil bakat baru, apa lagi atlet sudah menunggu lama hamper empat tahun untuk menonjolkan kebolehan dalam sukan angkat berat.

“Kita fahami pendirian Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), kita harap keputusan itu dilaksana dengan bijaksana setelah mengambil kira pandangan semua ‘stake holder’. Atlet dah ‘train very long time’ dan kami lakukan ini (ambil alih penganjuran) dengan suci hati,” kata Suhardi.

Menurutnya, Jawatankuasa Pengelola Sukma XX membuat keputusan meneruskan acara angkat berat berikutan semua negeri sudah melaksanakan program latihan mereka.

Beliau berkata, jawatankuasa pengelola juga mendapat bantuan daripada petugas berpengalaman dan penganjuran serta pengurusan acara angkat berat itu.

Acara angkat berat kategori wanita turut mula berlangsung hari ini. Foto: MSN Perak

Dalam pada itu, Suhardi berkata, tidak timbul isu rekod yang dibuat atlet angkat berat di temasya ini, tidak diiktiraf kerana MSN awal-awal lagi sudah mengumumkan semua rekod baru Sukma tidak diktiraf memandangkan perubahan had umur yang dinaikkan dari 21 kepada 23 tahun.

Pada Isnin, Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat (gambar) dalam satu kenyataan mengesahkan menerima laporan daripada Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) berkaitan atlet angkat berat yang positif doping.

“Tiga atlet tersebut adalah dari dua negeri. Mereka didapati positif ujian saringan doping sebelum menyertai SUKMA, selepas semua atlet diwajibkan menjalani ujian saringan sebelum pertandingan diadakan.

“Semua atlet dari negeri tersebut adalah dilarang mengambil bahagian dalam sukan angkat berat SUKMA 2022,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan media itu lagi, keputusan terbabit diluluskan Mesyuarat Agung Tahunan PABM 2019 dan Mesyuarat EXCO PABM yang memutuskan sekiranya terdapat mana-mana atlet ahli gabungan atau persatuan negeri yang positif doping, maka penyertaan atlet tersebut dan juga penyertaan atlet-atlet lain dalam ahli gabungan atau persatuan negeri yang ada atletnya positif doping, akan digantung daripada menyertai SUKMA XX dan mana-mana kejohanan dalaman dan antarabangsa selama dua tahun.

Beliau turut mengumumkan PABM menarik diri dariada mengendalikan acara angkat berat SUKMA XX selepas pendirian PABM itu dianggap tidak disambut baik oleh MSN.