SKUAD bola jaring Selangor berjaya menebus kehampaan gagal mendapat sebarang pingat pada edisi 2018 apabila membenam Johor 47-45 dalam aksi dramatik penentuan pingat gangsa di Stadium Juara Bukit Kiara.
Kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan sehingga saat terakhir perlawanan sebelum Selangor berjaya menghalang kebangkitan Johor pada suku keempat untuk memastikan pingat gangsa menjadi milik mereka.
Pengurus Pasukan Bola Jaring Selangor, Azlin Khamsah nyata berpuas hati dengan cara permainan dan semangat juang yang ditunjukkan oleh para pemain sepanjang Sukma 2022 ini.

Azlin Khamsah, Pengurus Pasukan Bola Jaring Selangor
Dia juga berkata para pemain pelapis yang menyertai skuad pada Sukma kali ini akan dipersiapkan untuk Sukma 2024 dan juga pemilihan pemain masih terbuka untuk bersaing dalam Netball Super League NSL musim hadapan.
“Secara keseluruhan kami berpuas hati dengan persembahan dan semangat juang yang ditunjukkan para pemain kami pada Sukma 2022.
“Ketika peringkat kumpulan kami sedikit bergelut kerana ‘Goal Shooter’ kami mengalami kecederaan dan kini para pemain pelapis akan diberikan pendedahan untuk persediaan menghadapi Sukma akan datang,” katanya ketika ditemui Flash Sukan.
Kegembiraan ini turut dikongsi pemain pertahanan L.Karishma yang gembira dengan pingat gangsa pada penampilan terakhirnya dalam Sukma dan akan meneruskan bermain bola jaring selepas ini.
Sebagai pemain kebangsaan, dia juga banyak memberikan tips kepada pemain-pemain muda dan dia berbangga dapat membantu pasukannya mengalahkan pasukan pilihan temasya Sukma 2022.

L.Karishma
“Dengan keputusan pada edisi 2018 kami berada di tangga keempat manakala Johor kedua dan ianya memberikan sedikit tekanan kerana kami mahu memperbaiki kedudukan berbanding edisi sebelum ini dan saya memang berpuas hati dengan kemenangan ini.
“Saya ada memberikan tips-tips kepada pemain muda terutama dalam mengawal tekanan dan mereka berjaya bermain dengan baik dan menebus kehampaan gagal mendapatkan pingat sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Johor, Fariza Mesnan tidak kecewa gagal membawa pulang pingat kerana dia mempunyai pemain-pemain muda yang bakal menggegar Sukma 2024.