BALIK awal lagi! Nasib skuad hoki lelaki Pulau Pinang di pentas Sukan Malaysia XX (SUKMA) terus suram apabila dipaksa balik awal lagi sekali selepas edisi 2018 di Perak.
Juara edisi 2016 di Kuching, Sarawak itu sekali lagi gagal apabila tersingkir di peringkat kumpulan.
Pengurus pasukan hoki lelaki Pulau Pinang, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin mengakui, berdasarkan aksi di SUKMA XX, banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki anak-anak buahnya.
Bekas penyerang skuad kebangsaan itu bagaimanapun yakin, Pulau Pinang akan tampil lebih gagah pada edisi Sukma 2024 selepas mengenal pasti segala kelemahan pasukan.
“Untuk capai standard seperti pasukan ke separuh akhir, banyak lagi perlu dipertingkatkan dan saya sendiri perlu berkerja keras mempersiapkan pasukan pada edisi 2024 nanti.
“Cuma pemain saya kurang dari segi teknik. Sebab kadang-kadang kami mendahului tetapi ‘kena’ pada hujung perlawanan.
“Kami perlu buat persediaan awal untuk Sukma 2024 dari sekarang. Perkara utama perlu dilakukan terlebih dahulu adalah beri fokus kepada pembangunan di peringkat umur,” katanya.
Sepanjang enam perlawanan Kumpulan B, Pulau Pinang hanya mencatat dua kemenangan dan tewas empat kali, termasuk 1-3 kepada Selangor pada aksi terakhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin.