KONTINJEN Sukan Malaysia (SUKMA) Johor melepasi dua sasaran semalam sekaligus meletakkan mereka di landasan tepat untuk julung kali bergelar juara keseluruhan temasya itu.

Ketua Kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri berkata, lebih membanggakan apabila kontinjen mencapai sasaran ditetapkan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi iaitu 50 pingat emas, hadir selepas hanya tiga jam mencapai sasaran 40 pingat emas oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) 40 emas pada Selasa.

“Tinggal lagi kita menuju ke angka seterusnya untuk mencari kejuaraan sulung buat kontinjen Johor sejak penganjuran SUKMA 1986,” katanya.

Menurut Najib, pencapaian tertinggi Johor di SUKMA adalah ketika muncul naib juara keseluruhan edisi 1992 ketika Johor menjadi tuan rumah.

Pencapaian semasa kontinjen itu yang sudah melepasi angka 50 emas juga satu rekod baharu kerana edisi di Melaka 2010 adalah kutipan pingat emas tertinggi mereka iaitu 40 emas.

“Masih banyak lagi acara sukan dan kira-kira 200 pingat lagi ditawarkan. Secara peribadi, saya sasarkan kutipan 70 emas untuk membolehkan kami muncul juara keseluruhan.

“Malah malam tadi, saya ada bertemu dengan atlet silat kerana di Perak 2018, pencak silat tidak menyumbang sebarang pingat dan saya memberi motivasi untuk mereka lebih bersemangat. Alhamdulillah, pagi ini mereka sudah menyumbang gangsa dan petang ini ada satu final membabitkan pesilat Johor,” katanya lagi.