KETUA Jurulatih skuad Sukma Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli gembira dengan kemenangan yang dicatatkan dalam Kumpulan D sekaligus layak ke suku akhir acara bola sepak Sukma 2022.

Dia juga menghamburkan pujian kepada para pemainnya yang berjaya mengikut arahan taktikal yang diberikan dan akan kembali fokus kepada aksi terakhir kumpulan menentang Kedah.

Akmal mahu memastikan Pulau Pinang tidak tewas kepada Kedah sekaligus muncul juara kumpulan dan akan berada pada kedudukan yang selesa di peringkat suku akhir.

Skuad Sukma Pulau Pinang

“Pertama sekali syukur kerana mendapat tiga mata dan melangkah ke separuh akhir. Kredit kepada pemain kerana berjaya melakukan apa yang diarahkan meskipun sedikit leka pada babak kedua.

“Untuk pertemuan menentang Kedah, kami akan menilai keadaan pemain terlebih dahulu dan mungkin akan merehatkan pemain utama kerana aksi suku akhir lebih penting buat kami.

“Walaupun mungkin kami tidak menurunkan barisan utama, tetapi kami akan pastikan kami tidak akan kalah kepada Kedah, tidak boleh kalah,” tegas Akmal ketika ditemui selepas perlawanan.

Keadaan padang yang kurang memuaskan juga menjadi kerisauan buat Akmal kerana menyebabkan beberapa pemain mengalami kecederaan namun kini mereka sudah di suku akhir menanti pasukan dari Kumpulan C sama ada Terengganu, Kelantan atau Sabah.