TERUJA adalah perkataan paling tepat boleh diberi bekas ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, apabila muncul sebagai juri pertandingan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

Jika dulunya Farah turun ke gelanggang memakai pakaian berwarna dan berkilauan, sekarang uniformnya berbaju putih dan berseluar hitam.

Itulah perbezaan secara fizikal yang boleh dinyatakan mengenai kerjaya lama dana terkini Farah Ann.

Menurutnya, SUKMA adalah peringkat tertinggi dia menjadi juri setakat ini, selain sirkit remaja.

“Farah sangat ‘excited’ kerana yang beraksi adalah junior saya, rakan latihan saya.. mereka buat saya rasa gementar.

“Saya nak mereka (gimnas) berikan yang terbaik, jika dulu saya boleh jerit memberi sokongan, kali ini saya perlu diam sebagai juri, yang penting saya nampak ada ‘progression’ di kalangan gimnas muda kita,” kata Farah Ann.

Apabila diusik dengan pertanyaan sama ada dia juri yang pemurah atau cerewet memberi mata, Farah Ann pantas mengukir senyuman sebelum menyatakan pendiriannya.

“Farah pernah bergelar atlet gimnas, apa yang kami mahukan adalah penjurian yang adil. Jadi, Farah akan menjadi juri yang adil kerana itu yang dimahukan atlet bertanding,” katanya, sambil menyatakan niatnya meneruskan kerjaya sebagai juri demi membalas bakti kepada sukan itu.

Malah katanya, apabila menjadi juri, dia tahu bahagian mana ‘deduction’ mata dan sebagainya jadi dia boleh berkerjasama dengan jurulatih dalam usaha meningkatkan persembahan gimnas dengan perkembangan terkini.

Mengulas mengenai persembahan hari pertama, Farah Ann gembila dengan prestasi gimnas seperti Zarith Imaan Khalid (Pulau Pinang), Marissa Zaiful Azian dan Hannah Yasmeen Mazwan (Wilayah Persekutuan), masing-masing meraih pingat emas, perak dan gangsa acara All around Individu wanita semalam.