SKUAD bola sepak Sukma Kedah nyata tertekan dengan status naib juara hingga gagal mempamerkan aksi yang diingini dan tidak dapat mengutip mata penuh ketika menentang Perlis dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D.
Jurulatih Kedah, Ridzuan Abdul Rahman nyata kecewa dengan keputusan seri ini dan kini tidak ada pilihan lain kecuali menang pada perlawanan terakhir menentang Pulau Pinang untuk layak ke suku akhir.
“Kami mencipta banyak peluang tetapi penyudah kurang baik dan kami akan buat lebih baik pada perlawanan seterusnya dengan memastikan barisan serangan lebih tajam dalam memburu gol.

Jurulatih Sukma Kedah, Ridzuan Abdul Rahman
“Pihak pengurusan sering berpesan tentang status kami sebagai naib juara dan ini sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada para pemain meskipun mereka menunjukkan kesungguhan untuk memenangi perlawanan ini.
“Kami hanya mempunyai dua perlawanan kumpulan sahaja dan perlawanan selepas ini adalah penentu sama ada kami layak ke suku akhir atau tidak dan kami perlu lebih fokus untuk memastikan kemenangan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Perkara yang sama turut dirasai oleh pengendali Perlis, Azizul Abidin yang turut merasakan mereka sepatutnya layak membawa pulang tiga mata namun jangkaan yang terlalu tinggi sedikit menjejaskan para pemain ketika beraksi.

Jurulatih Sukma Perlis, Azizul Abidin
“Alhamdulillah kita dapat satu mata. Kami mahukan kemenangan walaupun sedikit bergelut pada awal permainan namun kami berjaya menyerap tekanan yang diberikan dan berpeluang menjaringkan gol namun sayangnya kami gagal menyudahkan peluang yang ada.
“Kedah adalah antara pasukan yang baik dengan pemain yang baik. Kami pernah adakan perlawanan persahabatan dengan mereka dan jangkaan yang terlalu tinggi menyebabkan kami gagal berikan kemenangan.
“Perlawanan menentang Pulau Pinang adalah penentu segalanya dan mereka juga adalah pasukan yang kuat. Kami perlu mencari kemenangan kerana kami kurang berpuas hati kerana gagal catat kemenangan pada aksi pembukaan ini,” jelasnya kepada media.
Dengan hanya tiga pasukan di dalam Kumpulan D, setiap perlawanan adalah penting untuk setiap pasukan mendapatkan mata maksimum dan kini tekanan sudah dirasai oleh Perlis dan Kedah menjelang pertemuan mereka dengan Pulau Pinang.
Perlis akan bertemu Pulau Pinang pada Khamis 15 September manakala Kedah hanya akan turun beraksi pada Sabtu 17 September dengan kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Universiti Tenaga Nasional (Uniten).