SIKAP tenang dan hanya fokus kepada diri sendiri menjadi pendorong utama buat pelari pecut Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal berjaya bergelar memenangi dua pingat emas dan memadam rekod kejohanan.

Afrina berjaya memenangi emas dalam acara 200m wanita pada Selasa selepas turut memenangi emas dalam acara 100m wanita pada Isnin untuk bergelar Ratu Pecut Sukma pada edisi ke-21 di Stadium Sarawak.

Pelari berusia 20 tahun itu mencatatkan 23.89 saat sekali gus memecahkan rekod lama milik pelari Perak, Noor Eewan Syafiah 24.37 saat yang dilakukan pada temasya 2016 juga di Sarawak.

Afrina meraikan kejayaan selepas melepasi garisan penamat (kredit foto: MSN Selangor)

“Apa yang saya buat adalah kekal fokus sebelum perlumbaan. Saya tenang dan tidak memikirkan siapa pesaing saya kerana saya lawan dengan diri sendiri. Kejayaan ini adalah hasil sokongan keluarga dan juga jurulatih.

“Saya berjaya berikan Selangor satu lagi pingat emas dan sekali lagi berjaya memecahkan rekod kejohanan. Saya juga gembira kerana masa yang saya catatkan adalah diluar jangkaan,” katanya.

Pingat perak menjadi milik Izzatul Musfirah dari Terengganu dengan masa 24.52 saat manakala pingat gangsa disandang oleh atlet tuan rumah Ormilla Octavia dengan catatan masa 24.94 saat.

Afrina berikan dua pingat emas buat Selangor (kredit foto: MSN Selangor)

Dalam pada itu, dalam acara 200 meter lelaki pula, atlet Pulau Pinang, Muhammad Sayyid Amin Roslan merangkul pingat emas dengan catatan masa 21.21 saat mengatasi pemenang pingat emas acara 100 meter, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.