Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) meletakkan sasaran berani memburu enam daripada 10 pingat emas yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2027.

Setiausaha Kehormatnya, Yap Mou Soon menyifatkan misi itu realistik atas kapasiti Malaysia selaku tuan rumah walaupun edisi 2025 di Thailand sekadar menghadiahkan satu emas.

“Sebagai tuan rumah kita perlu ada sasaran jelas dan kali ini kita letak enam emas, malah setiap kali bertanding kita memang mahu bawa pulang pingat,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Setiausaha Kehormat EAM, Datuk Yap Mou Soon yakin kemampuan atlet negara.

Menurutnya, bagi edisi ke-34 itu EAM bercadang menawarkan tujuh acara iaitu show jumping, dressage dan eventing masing-masing berpasukan serta individu selain endurance.

Beliau berkata, endurance pula dicadangkan membabitkan empat kategori iaitu terbuka individu dan berpasukan serta young rider individu dan berpasukan.

Mengulas pencapaian lalu, skuad negara membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa di Thailand dengan emas disumbang Megan Min Ern Ding menerusi dressage individu.

Pingat perak hadir dalam jumping berpasukan manakala gangsa diraih acara dressage berpasukan ketika tuan rumah muncul juara keseluruhan dengan tiga emas.

Sebagai rekod, ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017, skuad ekuestrian negara menyapu bersih enam emas dan momentum itu mahu diulang sekali lagi pada 2027.