TERNYATA usia bukan penghalang buat bekas pelumba basikal lasak (MTB) negara yang kini berusia 46 tahun masih kompetitif untuk memberi cabaran perlumbaan di dalam negara mahupun di luar negara sebagai pelumba profesional persendirian.
Terkini, anak jati Kuala Terengganu yang lebih dikenali sebagai Bujoe dalam arena berbasikal mengesahkan penyertaan untuk berentap dalam perlumbaan Kejuaraan Berbasikal Lasak (XCO) Kebangsaan 2024 di Bukit Chatak, Dungun, Terengganu pada hujung minggu ini.
Beraksi di litar perlumbaan berstatus ‘Class Two Cross Country Olympic XCO’ yang mendapat pengiktirafan oleh badan induk dunia tua(UCI) nanti, Azizulazli Shaari tidak menolak bakal menerima cabaran sengit dari pelumba-pelumba muda kebangsaan dan juga menjangkakan penyertaan dari pelumba-pelumba profesional dari luar negara yang turut berentap bersama nanti.
Untuk rekod setelah beraksi cemerlang di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) mewakili Terengganu pada tahun 1996 dan 1998, beliau diserap di dalam kem berbasikal lasak kebangsaan bagi persediaan selama empat tahun untuk beraksi di temasya Sukan SEA 2003 di mana Malaysia menjadi tuan rumah ketika itu.

Azizulazli pernah dilantik sebagai jurulatih berbasikal Terengganu bagi skuad Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2006 sehingga 2008 dan juga bekas jurulatih kebangsaan pada tahun 2015.
Kali terakhir Azizulazli Shaari menyarung jersi kebangsaan adalah sewaktu beraksi di pentas Kejuaraan Berbasikal Konfederasi Asia(ACC) pada tahun 2002 di Thailand sebelum memilih haluan untuk menjadi pelumba profesional persendirian sepenuh masa sehingga kini.
“Faktor usia bukan penghalang sebenarnya. Cuma ia berbeza dari segi kemampuan zon prestasi jantung sebagai pelumba di mana kita berlumba mengikut kemampuan masing-masing dengan data-data yang telah dicatat sepanjang menjalankan latihan.
“Walaubagaimanapun saya tetap menyedari faktor usia kian meningkat di mana sudah tentu saya tidak boleh memaksa kudrat saya atau degupan jantung saya lebih laju seperti mana sewaktu usia muda dahulu. Berlumba dalam usia saya sebegini, selain mengekalkan kecergasan sudah tentu pengalaman dan disiplin latihan menjadi taruhan saya dalam setiap perlumbaan.

Azizulazli Shaari yang kini berusia 46 tahun merupakan pelumba profesional persendirian sepenuh masa yang sering mewarnai kalendar perlumbaan basikal lasak tanah air.
“Sehingga kini saya masih dalam prestasi terbaik sebagai pelumba untuk bersaing secara kompetitif di mana saya baru pulang dari menyertai perlumbaan di Thailand.” ujar Azizulazli Shaari yang kini telah berkeluarga dan mempunyai dua cahaya mata.
Kejuaraan Berbasikal Lasak (XCO) Kebangsaan 2024 yang dijadualkan berlangsung selama dua hari di Dungun pada Jumaat dan Sabtu ini mempertaruhkan 11 kategori yang dipertandingkan meliputi tujuh kategori bagi lelaki dan empat kategori bagi wanita.
Perlumbaan ini juga turut menawarkan kutipan mata bagi pelumba-pelumba untuk disenaraikan di tangga kedudukan dunia oleh UCI.