BERBAKI beberapa hari lagi sebelum sepak mula Kejohanan Supermokh 2022, beberapa buah pasukan yang menyertai kejohanan ini sudah mula tiba di Malaysia.

Antara pasukan terawal yang tiba di Malaysia adalah pasukan daripada negara Matahari Terbit, Jepun, iaitu pasukan Cerezo Osaka yang kembali sekali lagi setelah menyertai edisi terdahulu pada tahun 2019.

Menurut Pengarah Akademi Cerezo Osaka, Koki Kobayashi, mereka sangat berbesar hati kerana dijemput menyertai edisi ini sekali lagi selepas edisi terakhir yang disertai mereka pada tahun 2019.

“Kami amat bersyukur kerana dijemput sekali lagi ke kejohanan yang menarik ini, selain dapat membantu para pemain kami untuk lebih berkembang dan maju dalam bola sepak ini, kejohanan ini juga dapat menarik minat dan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang terutama anak-anak kecil tentang kemahiran bola sepak kami secara menyeluruh”, ujarnya dalam satu kenyataan dari Majlis Sukan Negara (MSN) pada Sabtu.

Pasukan Cerezo Osaka akan menyertai kategori bawah 14 tahun yang turut disertai oleh pasuka seperti PSG, NK Osijek, Fagiano Okayama, Akademi Hwaseong, RF Youth Champ, MSK Rezemberok, Chonburi FC dan 2 pasukan dari Malaysia, AMD A dan AMD B.