PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao meraih gelaran di peringkat senior yang pertama selepas menjuarai Indonesia Masters, di Malang, Indonesia.

Gelaran berharga buat Jun Hao di kejohanan berstatus Super 100 itu, bakal menjadi lembaran baru buat pemain berusia 23 tahun, yang sangat kecewa dengan kegagalannya meraih pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) lalu.

Berdepan pilihan ketujuh Cheam Jun Wei, bukanlah lawan yang mudah apa lagi rakan senegara itu menduduki ranking ke-65 dunia berbanding Jun Hao di ranking ke 101.

Malah rekod pertemuan antara dua pemain itu di pentas antarabangsa memihak June Wei tiga kali menang berbanding Jun Hao hanya dua kali.

Jun Hao membuka permainan dengan cemerlang apabila mengambil set pertama dengan kemenangan 21-9, sebelum June Wei memaksanya bermain rubber set selepas pilihan ketujuh itu mencuri set kedua dengan kemenangan 22-20.

Enggan mengulangi kesilapan sama di set kedua, Jun Hao mengakhiri cabaran Jue Wei dengan memenangi set penentuan 21-19.

Gelaran Indonesia Masters adalah yang pertama buat Jun Hao tahun ini selain berada dalam pasukan Malaysia menjuarai Kejohanan Berpasukan Asia, Februari lalu.

Indonesia Masters menjadi kejuaraan pertama Leong Jun Hao di peringkat senior.

Untuk rekod, dia muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2019.

Pada 2018, pemain muda negara itu muncul juara Cabaran Antarabangsa Finland dan naib juara Thailand Masters.

Manakala pada 2017, Jun Hao muncul juara Remaja Asia  dan naib juara Cabaran Antarabangsa Malaysia.