SEBANYAK 23 pemain bola sepak telah diberikan taraf warganegara Malaysia melalui proses naturalisasi sejak tahun 2018, menurut kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa setiap permohonan kewarganegaraan dilaksanakan dengan teliti dan mematuhi segala peruntukan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk menilai, memproses dan membuat keputusan terhadap setiap permohonan berdasarkan syarat ketat yang telah ditetapkan.

Menurut Saifuddin, proses tersebut dilakukan tanpa penglibatan mana-mana ejen kerana setiap pemohon wajib mengemukakan permohonan sendiri kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Beliau menegaskan bahawa JPN tidak pernah menggunakan khidmat pihak ketiga atau ejen dalam urusan permohonan kewarganegaraan.

“Terdapat tiga rukun utama yang perlu dipenuhi – pemohon mesti bermastautin di Malaysia bagi tempoh yang ditetapkan, berkelakuan baik serta lulus tapisan keselamatan, dan mempunyai tahap pemahaman Bahasa Melayu yang mencukupi,” jelasnya.

Tambahnya lagi, hanya selepas ketiga-tiga syarat itu dipenuhi, barulah sesuatu permohonan boleh dipertimbangkan untuk proses selanjutnya oleh kerajaan. Kesemua 23 pemain yang diberikan taraf warganegara juga tertakluk kepada Kaedah-Kaedah Warganegara 1964 yang menjadi panduan utama dalam proses penilaian tersebut.

Penjelasan itu hadir susulan soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan yang meminta penjelasan berhubung kriteria dan kelayakan digunakan kerajaan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam proses penentuan pemain yang layak dinaturalisasikan.

Isu pemain naturalisasi kembali menjadi perhatian selepas badan induk bola sepak dunia, FIFA, baru-baru ini mengenakan hukuman terhadap beberapa pemain warisan yang disahkan menggunakan dokumen tidak sah dalam proses pendaftaran.

Kenyataan Datuk Seri Saifuddin ini sekali gus memperjelas bahawa semua proses naturalisasi pemain yang dijalankan kerajaan adalah berpaksikan undang-undang serta melalui saringan ketat bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak menerima status warganegara Malaysia.