SEMANGAT luar biasa Facundo Garcés sekali lagi mencuri perhatian apabila tonggak Deportivo Alaves itu tidak sabar untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Asia 2027, Oktober nanti.

Pengendali negara, Peter Cklamovski mendedahkan bagaimana pemain berusia 25 tahun itu masih berhubung dengan barisan staf pasukan kebangsaan walaupun sibuk bersama kelabnya di Sepanyol, sekali gus menunjukkan betapa kuatnya jiwa Garcés terhadap Malaysia.

“Awal pagi ini, beliau berbalas mesej dengan sebahagian staf dan berbicara mengenai kem sambil membuat persiapan untuk kelabnya. Beliau tidak sabar untuk kembali pada Oktober.

“Garcés bangga mewakili Malaysia dan beliau memiliki hubungan dengan negara yang membangkitkan perasaan istimewa ketika bermain seperti semua pemain lain,” kata Cklamovski.

Sejak melakukan debut pada Jun lalu, Garcés sudah merekodkan dua penampilan antarabangsa dan menampilkan komitmen yang dianggap inspirasi buat rakan sepasukan lain. Keghairahan bekas pemain kelahiran Santa Fe itu jelas memberi aura positif kepada kem Harimau Malaya yang bakal berdepan misi penting menentang Laos.

Malaysia dijadual bertandang ke Vientiane pada 9 Oktober sebelum aksi timbal balik berlangsung di laman sendiri pada 14 Oktober. Dua kemenangan bakal menjadi bekalan berharga untuk mencerahkan peluang skuad negara mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027.

Bagi Cklamovski, melihat seorang pemain yang baharu dalam skuad kebangsaan tetapi sudah menunjukkan rasa bangga dan keterikatan mendalam terhadap Jalur Gemilang menjadi bukti Harimau Malaya sedang menuju ke arah budaya pasukan yang lebih segar dan penuh semangat patriotik.