DESAS-desus bertiup kencang di paddock MotoGP apabila Suzuki dijangka menarik diri dari saingan MotoGP selepas tamat musim 2022, tujuh tahun sejak menyertai kelas tertinggi sukan motorsikal ini.
Pembuat motorsikal Jepun ini adalah nama besar di MotoGP terutama ketika era 500cc membantu Barry Sheene, Marco Lucchinelli, Franco Uncini, Kevin Schwantz dan Kenny Roberts Jr muncul juara dunia.
Pengumuman mengejutkan ini mengakibatkan masa depan juara dunia 2020, Joan Mir (gambar) dan pemenang tiga Grand Prix, Alex Rins terjejas.
Kedua-dua mereka mempunyai kontrak sehingga tamat musim 2022 dengan Mir mengatakan dia akan kekal di pasukan Jepun ini.
Pemegang taruh perlumbaan MotoGP, Dorna Sports telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah menghubungi Suzuki dan memaklumkan tentang keadaan kontrak mereka.
“Berhubung desas-desus terkini tentang penarikan diri Suzuki dari MotoGP pada penghujung 2022 ini, Dorna Spors telah menghubungi Suzuki dan mengingatkan mereka bahawa mereka tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian,” tulis kenyataan Dorna Sports.
Bagaimanapun, sekiranya Suzuki tetap mahu menarik diri selepas persetujuan kedua-dua pihak, Dorna akan menentukan jumlah yang ideal untuk pelumba dan pasukan yang akan berlumba pada 2023.
Dorna masih menerima banyak permintaan dari kilang-kilang rasmi dan pasukan persendirian untuk menyertai MotoGP yang mempunyai kuasa pemasaran global kepada lebih 100 negara.