SELEPAS  kejayaan Liverpool menjuarai Piala FA menundukkan Chelsea awal pagi ini, Mohamed Salah membawa bekas rakan sepasukan Mesir, Moamen Zakaria ke bilik persalinan.

Salah yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan turut sama meraikan kejayaan satu lagi final menewaskan lawan yang sama dengan penentuan penalti 6-5 di Stadium Wembley, London.

Salah memuat naik video di laman Instagramnya yang menunjukkan Salah menolak Moamen yang duduk di atas kerusi roda untuk sama-sama menyambut kejuaraan ini.

Moamen Zakaria adalah salah seorang pemain yang pernah dikenalpasti sebagai salah seorang pemain terbaik Mesir selepas memenangi tiga Liga Perdana di Mesir.

Pemain berusia 34 tahun ini juga mewakili negaranya sebanyak 12 kali sebelum beliau didiagnos dengan penyakit ‘amyotrophic lateral sclerosis’ (ALS), pada 2020.

ALS adalah penyakit berkaitan neurologi yang menjejaskan otak dan malangnya ianya tidak boleh dipulihkan sekaligus mengakhiri karier Zakaria sejak 2018.

Ini tidak menghalang pemain Liverpool untuk melayan Zakaria seperti teman sepasukan sendiri membenarkan dia membawa piala dan semua saat ini dirakam oleh Salah.

Sebelum ini, Salah telah menghargai Zakaria selepas dia menjaringkan hatrik ketika Liverpool menewaskan Leeds United 4-3 pada 2020.

Penyerang itu meraikan jaringannya dengan meniru gaya Zakaria dengan menekan kedua-dua tangannya ke telinga. Inilah keindahan bola sepak.