Acara renang berirama sah tidak akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas gagal memenuhi syarat minimum penyertaan ditetapkan penganjur.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026, Mohd Najwan Halimi berkata keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi SUKMA 2026 baru-baru ini.
Menurut beliau, sesuatu acara hanya boleh dipertandingkan sekiranya disertai sekurang-kurangnya enam kontinjen negeri.
Bagaimanapun, acara renang berirama gagal mencapai jumlah penyertaan minimum tersebut menyebabkan ia terpaksa digugurkan daripada temasya kali ini.
“Jumlah acara yang dipertandingkan kini menjadi 469 berbanding 474 sebelum ini, tetapi jumlah sukan kekal sebanyak 37 jenis,” katanya kepada media selepas Program Larian Obor SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam semalam.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan tarikh penganjuran SUKMA dan Para SUKMA masih dikekalkan seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu dari 15 hingga 24 Ogos depan.
Sebanyak 52 fasiliti sukan juga akan terus digunakan bagi memastikan kelancaran temasya dwitahunan tersebut.
Mohd Najwan turut memaklumkan kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih berhemah dari segi perbelanjaan dengan sasaran mengurangkan kos penganjuran secara signifikan.
Menurutnya, anggaran kos keseluruhan kini dijangka sekitar RM40 juta hingga RM50 juta berbanding unjuran asal yang mencecah RM100 juta.
Beliau berkata langkah penjimatan itu termasuk mengecilkan skala majlis pembukaan selain menggunakan kemudahan sukan sedia ada tanpa pembinaan infrastruktur baharu.
Majlis perasmian yang sebelum ini dirancang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang juga akan dipindahkan ke lokasi lain yang masih belum dimuktamadkan.
Selain itu, jumlah sukarelawan turut dikurangkan daripada sasaran asal 30,000 orang kepada kurang 5,000 orang sebagai sebahagian langkah kawalan kos penganjuran.