PENCAPAIAN cemerlang mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara Recurve Wanita (individu), atlet memanah kebangsaan, Syaqiera Mashayikh kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada persediaan menghadapi Sukan SEA 2025 Thailand.
Dengan tekad untuk mencipta sejarah baharu, Syaqiera tidak sekadar mensasarkan pingat, tetapi juga berusaha untuk meningkatkan konsistensi dan kawalan emosi dalam setiap pertandingan.
“Saya perlu perbaiki banyak aspek, terutamanya dari segi teknik individu, mental, dan fizikal. Fokus saya sekarang adalah untuk menjadi lebih konsisten ketika melakukan tembakan, mengawal rasa gugup, dan memastikan saya berada dalam keadaan terbaik semasa pertandingan,” katanya ditemui selepas menerima insentif tertinggi sebanyak RM1,000 di Majlis Apresiasi Kecemerlangan dan Penghargaan Atlet UPM 2024 di Dewan besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, pada Isnin.

Syaqiera Mashayikh menerima insentif sebanyak RM1,000 di Majlis Apresiasi Kecemerlangan dan Penghargaan Atlet UPM 2024.
Bagi Syaqiera, penghargaan yang diterimanya daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha membawa kejayaan di pentas antarabangsa.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada UPM atas insentif ini. Ia adalah satu pengiktirafan besar buat saya.
“Ia memberikan saya motivasi untuk terus membanggakan nama universiti dan negara,” ujarnya rasa syukur.
Mengulas mengenai persediaan menuju Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung di Thailand, Syaqiera menjelaskan bahawa latihan intensif akan bermula pada awal Januari 2025.
Walaupun jadual pertandingan dan kem latihan belum ditetapkan secara rasmi oleh jurulatih, dia tetap optimis pasukannya mampu mencatatkan keputusan yang membanggakan.
“Kami akan mula berlatih pada 2 Januari, dan sepanjang tahun depan, fokus utama saya adalah Sukan SEA.
“Dengan potensi pasukan dan pengalaman kami di Olimpik, saya yakin kami mampu mencatat pencapaian yang baik, mungkin membawa pulang pingat, insya-Allah,” katanya penuh harapan.

Syaqiera Mashayikh beraksi di Temasya Olimpik Paris 2024.
Selain Sukan SEA, Syaqiera turut mengintai peluang untuk bersinar di Kejohanan Dunia yang dijadualkan berlangsung di Guangzhou pada Mei 2025.
Namun, dia menegaskan bahawa fokus utamanya kekal pada temasya dwitahunan itu kerana ia adalah platform penting untuk mengasah kemahiran dan mengukur prestasi pasukan di peringkat rantau.
Syaqiera mengakui perjalanan menuju Sukan SEA 2025 bukanlah mudah, namun dia bersedia menghadapi cabaran dengan semangat dan azam yang tinggi.
“Saya akan terus memperbaiki kelemahan, membina keyakinan, dan memberikan yang terbaik untuk pasukan dan negara,” katanya, menutup bicara dengan penuh inspirasi.
Dengan semangat juang dan dedikasi tinggi, Syaqiera Mashayikh kini berada di landasan tepat untuk mencipta kejayaan baharu, bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk Malaysia di pentas serantau.

Sekitar Majlis Apresiasi Kecemerlangan dan Penghargaan Atlet UPM 2024.
Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Apresiasi Kecemerlangan dan Penghargaan Atlet UPM 2024 bagi memberikan penghargaan kepada atlet yang menampilkan prestasi cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.