KEJAYAAN meraih pingat gangsa di Temasya Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China, membuka lembaran semangat baharu buat gimnas artistik lelaki negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam untuk beraksi ke ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Meskipun optimis mampu mendapatkan slot untuk layak ke temasya sukan terbesar dunia itu, Sharul Aimy mengakui tidak mudah kerana dia perlu menyertai empat kejohanan Piala Dunia yang akan bermula Februari tahun depan.
Katanya, dia perlu memenangi pingat dalam keempat kejohanan itu bagi mencerahkan peluang untuyk layak ke Paris.
“Ia adalah peluang terakhir saya untuk layak ke Olimpik. Saya perlu lakukan persediaan awal kerana ada sedikit kecederaan di tangan (siku). Saya yakin dapat layak (ke Olimpik) tetapi ia juga bergantung kepada rezeki.
“Kalau tidak silap, untuk layak ke Olimpik saya perlu memenangi pingat setiap kali beraksi di keempat-empat Piala Dunia itu. Barulah saya akan dapat mata dan layak ke Olimpik,” katanya, yang memberi fokus kepada acara melombol.
Empat Piala Dunia yang dimaksudnya itu adalah di Mesir, Cottbus (Jerman), Doha (Qatar) dan Baku (Azerbaijan).
Dalam pada itu, Sharul berkata, dia kekal fokus kepada kerjayanya sebagai atlet gimnastik negara meskipun mendapat banyak tawaran selaku model serta berlakon.
“Fokus utama saya adalah berlatih. Untuk tawaran model itu saya lakukan pada hujung minggu tetapi bagi tawaran berlakon, saya tak ambil buat masa sekarang,” katanya, yang melakar sejarah apabila berjaya menyumbangkan pingat gangsa buat kontinjen negara menerusi acara melombol di Sukan Asia Hangzhou, September lalu.
Sementara itu, kecederaan siku dalam latihan selepas Sukan Asia Hangzhou, menyebabkan Sharul Aimy tidak berlatih selama sebulan, namun kini sudah mula beraksi di gelanggang meskipun baru 50 peratus pulih.
“Saya mahu berlatih lebih awal kerana saingan di Piala Dunia itu nanti tidak mudah, kerana kebanyakan gimnas terbaik Asia akan mengambil bahagian.
“Ini kerana hanya beberapa gimnas Asia yang sudah layak ke Paris,” kata Sharul Aimy.
Setakat ini, hanya 14 gimnas lelaki (individu) sudah mengesahkan tempat ke Olimpik Paris dan hanya tiga daripadanya wakil Asia, iaitu Lee Junho dari Kroea Selatan, Carlos Yulo dari Filipina dan Milad Karimi dari Kazakhstan.