KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedia mempertimbang tiga permintaan dibuat Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang kini berdepan beberapa isu yang perlu ditangani segera.

Menterinya, Hannah  Yeoh berkata, permintaan itu bagaimanapun memerlukan masa sebelum Majlis Sukan Negara (MSN) dapat membuat keputusan.

Perkara itu dikongsi Hannah dalam satu sidang media khas, selepas menerima lawatan daripada Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di Majlis Sukan Negara (MSN).

“Tiga perkara dibincangkan hari ini, pertama adalah permintaan bagi menaiktaraf Veledrom Rakyat kerana keperluan di sana untuk dibaiki, jadi sudah tentu ia berada dalam pertimbangan KBS, namun belum ada kata putus.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan melawat Veledrom Rakyat di Ipoh selepas berakhir tamat sidang Parlimen.

“Kedua, permintaan untuk KBS beri dana dan sokongan kepada pasukan berbasikal lebuhraya, perkara ini akan dipertimbangkan oleh MSN manakala ketiga, berkaitan dana dan ini sudah wujud di peringkat kementerian,” kata Hannah.

Menurut beliau, permintaan dana KBS boleh dirujuk kepada dana sedia ada seperti geran padanan sukan dan ada juga dana sukan komuniti.

Hannah bagaimanapun mengakui, dana bagi program berbasikal lebuhraya tidak diteruskan MSN sejak 2013 lagi.

Namun katanya, persiapan atlet ke Sukan Sea tetap mendapat sokongan agensi kerajaan itu.

PKBM berdepan kesukaran menyediakan program jangaka panjang berbasikal lebuh raya.

Begitupun, PKBM berdepan masalah untuk menyediakan program pembangunan berbasikal lebuhraya kerana kekangan kewangan, malah tiada program jangka panjang dapat diteruskan.

Skuad lebuh raya berdepan masa saban tahun sehingga skuad yang mewakili negara di Le Tour de Langkawi lalu, terpaksa meminta derma untuk membei kelengkapan perlumbaan seperti tayar, rantai basikal dan sebagainya.

Malah pasukan kebangsaan dilatih Yusof Nasir secara sukarela sejak lima tahun lalu.

Sebelum ini, PKBM menerima geran RM1.5 juta setahun dari kerajaan untuk program pembangunan berbasikal lebuh raya sehinggalah dihentikan pada 2013, berikutan dakwaan salah guna dana, namun isu itu sudah diselesaikan pada 2015.