BINTANG boling kebangsaan, Natasha Roslan mahu menggunakan Aidilfitri kali ini untuk meluangkan lebih banyak masa bersama-sama keluarga setelah sekian lama beraya di perantauan kerana komitmen kepada negara.

Gadis manis berusia 27 tahun itu menyambut Syawal kali ini sebagai #TeamKL dan akan menggunakan kesempatan ini untuk menikmati juadah rendang ayam atau daging hasil air tangan ibunya serta lemang yang menjadi kegemarannya di Hari Raya.

Pemegang pingat perak kategori Perseorangan Wanita Kejohanan Boling Asia 2023 di Hong Kong Januari lalu itu kini akan memberikan duit raya dan sudah tidak menerima duit raya seperti kebiasaan.

“Tahun ini Alhamdulillah saya dapat raikan raya dengan keluarga kerana selalu tahun-tahun sebelum ini saya tidak dapat menyambut Aidilfitri di Malaysia kerana menyertai pertandingan di luar negara.

“Saya mengenakan baju raya berwarna warni kerana itulah warna sebenar Syawal dan saya perlu menjaga pemakanan supaya tidak menggangu tahap kecergasan saya sebagai seorang atlet,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Natasha akan kembali fokus dengan latihan menjelang beberapa kejohanan pada pertengahan Mei bermula dengan Terbuka Thailand, Terbuka Malaysia dan diikuti Terbuka Singapura selepas itu.