PENJAGA gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi secara rasmi diumumkan sebagai rekrut terbaharu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sekaligus menutup desas-desus perpindahannya ke Iskandar Puteri.

Syihan yang juga Penjaga Gol Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan diumumkan sebagai pemain baharu Harimau Selatan menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab.

Penjaga gol berusia 26 tahun itu baharu sahaja menamatkan saingan Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bersama skuad kebangsaan dan akan menyertai JDT ke Dubai untuk latihan pra musim di bawah kendalian pengendali baharu, Esteban Solari.

“This is the Home of Champions, Syihan. Welcome to JDT!”, tulis kenyataan di laman sosial rasmi kelab.

Pemain kelahiran Kelantan itu sebelum ini menempa nama di Negeri Sembilan FC dengan menampilkan aksi mantap sekaligus menarik perhatian Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon sebagai penjaga gol nombor satu negara.

Dengan perkembangan terbaharu ini, Syihan bakal berdepan saingan dengan dua lagi penjaga gol berpengalaman JDT, Farizal Marlias dan Haziq Nazli dan dia perlu bekerja keras untuk membuktikan dia layak menjaga gawang juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.

Syihan juga kini berpeluang merasai pengalaman bermain di pentas tertinggi kelab Asia, Liga Juara-Juara AFC selepas JDT sekali lagi mengesahkan tempat mereka ke kejohanan Asia itu buat kali kelima berturut-turut.