KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) III, Gonzallo Sanz Zaballos meluahkan rasa gembira dengan prestasi yang ditampilkan oleh anak buahnya dalam setiap perlawanan yang ditarungi pada musim ini.
Pengendali dari Sepanyol itu turut mendedahkan bahawa resipi yang digunakan untuk skuadnya bangkit dalam perlawanan adalah dengan menasihati pemain-pemain supaya kekal fokus dan terus memberi yang terbaik hingga ke wisel penamat.
Menurutnya, tiada istilah permulaan dan pengakhiran dalam sistem kejayaan JDT dan itu sekaligus memandu kelabnya untuk meraih trofi juara yang ke-53 secara keseluruhan buat pasukan besar JDT.

“Sedikit demi sedikit, pasukan JDT akan lebih membesar dengan pengalaman-pengalaman yang sedia ada jadi bukan sahaja pada aksi final mereka perlu lakukan yang terbaik di atas padang.
“Saya juga tidak menafikan bahawa skuad Negeri Sembilan FC sangat licik dalam taktik perlawanan malam ini dan ia merupakan satu aksi yang bagus telah ditonjolkan daripada kelab mereka.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana beri peluang untuk mengendali pasukan ini dan sudah tentu kami akan lebih bekerja keras untuk musim yang akan datang,” ujarnya kepada media.

Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan FC iaitu Azlan Ahmad pula lega apabila hasratnya untuk sampai ke perlawanan akhir Piala Presiden 2023 ini telah berjaya walaupun ditewaskan oleh pasukan yang besar iaitu JDT III.
Dia percaya anak buahnya itu telah berjuang sehabis baik dan cuba beri tentangan yang sengit buat pihak tuan rumah tetapi rezeki tidak memihak kepada mereka walau terdapat beberapa peluang yang terbentang buat Negeri Sembilan.
“Secara keseluruhan, saya tahu tahap kekurangan pemain-pemain di bawah bimbingan saya namun tetap saya berpuas hati dengan prestasi pasukan yang tidak pernah berputus asa dari awal peringkat perlawanan hingga ke hujung detik pertarungan,” katanya kepada pihak media selepas tamat perlawanan.