KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin memohon maaf kepada penyokong dan peminat yang hampa selepas Stipe Plazibat tidak beraksi pada perlawanan persahabatan di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad.

Permohonan maaf itu dibuat Bobie Farid menerusi Instagram @ariesham rasminya hari ini.

“Alhamdulillah. To the fansyou guys are amazing.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat nak realisasikan agar Stipe dapat bermain hari ini (semalam).

“Tapi selepas mendapat nasihat dari orang yang lebih berpengalaman maka kita lebih teruja untuk melihat proses recovery dia setelah lebih 48 jam perjalanan sebelum sampai ke Ipoh.

“Maaf semua… Thanks all,” tulis hantarannya itu.

Semalam, hajat penyokong The Bos Gaurus (TBG) menantikan kelincahan bakal penggempur baharu dari Republik Croatia itu belum kesampaian apabila tidak beraksi sepanjang 90 minit permainan.

Perak FC kembali mempamerkan prestasi terbaik apabila melakar kemenangan 1-0 ke atas Korea Christian College hasil jaringan tunggal  Syamim Yahya m-65.

Ia cukup menceriakan penyokong TBG yang hadir memberikan sokongan padu untuk melihat kebangkitan skuad itu di Liga Premier musim ini.