KEKALAHAN di laman sendiri pada Terbuka Malaysia Januari lalu akhirnya terbalas apabila Pearly Tan-M Thinaah mempamerkan semangat juang tinggi untuk menewaskan gandingan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada pusingan kedua Terbuka Thailand, hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung selama 56 minit di Stadium Nimibutr itu, beregu negara bangkit mencatat kemenangan 21-17, 10-21, 21-15, sekali gus menyekat langkah pasangan Indonesia yang sebelum ini pernah menghampakan mereka di depan penyokong sendiri.
Thinaah mengakui kemenangan kali ini cukup manis dan menjadi motivasi untuk mereka terus melangkah lebih jauh dalam kejohanan.
“Sudah tentu kami gembira, sebab kali terakhir bertemu mereka, kami kalah di Malaysia. Kemenangan ini memang beri makna besar untuk kami,” katanya.
Namun, Thinaah tetap berpijak di bumi nyata apabila mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dari segi konsistensi dan corak permainan.
“Kami tak boleh terlalu selesa. Fokus sekarang adalah untuk kekalkan rentak dan buat persiapan rapi untuk perlawanan seterusnya,” jelasnya lagi.
“Kami hanya mahu masuk gelanggang dengan fikiran positif dan beri galakan antara satu sama lain. Itu saja. Hari ini semuanya berjalan lancar,” ujarnya lagi.
Beregu negara itu akan berdepan halangan lebih besar di suku akhir apabila dijadualkan bertemu pasangan pilihan dari China, Chen Qing Chen-Wang Ting Ge, yang pastinya menuntut strategi lebih kemas dan persembahan lebih bertenaga daripada Pearly-Thinaah.