PENGERUSI Peterborough United, Darragh MacAnthony, tegas mempertahankan pengurus Darren Ferguson, selepas menerima kritikan hebat daripada penyokong yang menuntut pemecatannya.
Kritikan itu timbul susulan keputusan Ferguson tidak menurunkan Tyler Young dalam perlawanan Piala FA menentang Everton, yang menyebabkan peluang bersejarah antara ayah dan anak untuk bertemu di atas padang tidak menjadi kenyataan.
Perlawanan di Goodison Park pada Jumaat menyaksikan legenda bola sepak England, Ashley Young, yang kini berusia 39 tahun, dimasukkan sebagai pemain gantian Everton pada minit ke-73 ketika pasukannya mendahului 1-0.
Walaupun terdapat potensi detik sentimental apabila anaknya, Tyler, turut berada di bangku simpanan Peterborough, Ferguson memilih untuk tidak menurunkan pemain muda berusia 18 tahun itu.

Menurut laporan media antarabangsa, Ferguson menjelaskan bahawa keadaan kompetitif perlawanan itu tidak membenarkan dia mengambil risiko.
Keputusan ini menerima kritikan hebat daripada sesetengah peminat Peterborough, yang meluahkan rasa kecewa di media sosial dan ada yang menyeru Ferguson dipecat.
Namun, MacAnthony dengan lantang mengecam tindakan tersebut, menyifatkan kritikan itu sebagai tidak masuk akal.
“Perkara karut ini perlu dihentikan, pengurus saya membuat tindakan yang betul. Ini bukan perlawanan persahabatan atau acara pameran.
“Tyler sedang berkembang dengan cemerlang bersama pasukan B-21 kami dan memiliki masa depan cerah.
“Tetapi untuk memasukkannya dalam keadaan kami ketinggalan 1-0 dengan masa semakin suntuk adalah keputusan yang salah untuk pasukan.
“Mengeluarkan ciapan bodoh meminta Ferguson dipecat adalah tindakan tidak bijak dan sangat tidak bijak.
“Saya yakin, dalam masa terdekat, bahkan Ashley akan menghargai keputusan ini berbanding perasaannya sekarang,” tulis MacAnthony di akaun X miliknya.

Reaksi daripada peminat rata-rata meluahkan kekecewaan kerana terlepas peluang menyaksikan detik bersejarah dalam dunia bola sepak
Ashley Young sebelum ini turut meluahkan kekecewaannya di media sosial, menyatakan bahawa dia kecewa dengan situasi tersebut.
Penyokong pula ingin melihat peluang bersejarah untuk menyaksikan bapa dan anak berhadapan dalam pertandingan Piala FA yang berusia 154 tahun itu, tetapi Ferguson tetap mempertahankan keputusannya berdasarkan kepentingan pasukan.
Tyler, yang dianggap sebagai bakat muda, baru membuat satu penampilan senior untuk Peterborough dalam perlawanan EFL Trophy menentang Stevenage pada Oktober 2024.
Walaupun begitu, MacAnthony menekankan bahawa masa depan cerah pemain muda itu adalah keutamaan dan emosi tidak boleh mendahului logik dalam bola sepak kompetitif.
Perlawanan itu berakhir dengan kekalahan 2-0 kepada Everton, selepas Iliman Ndiaye menjaringkan penalti pada masa kecederaan, sekali gus menutup peluang Peterborough untuk melangkah ke pusingan seterusnya.