KEHILANGAN pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Tze Yong di persada antarabangsa, mungkin semakin kurang dirasai badan induk badminton negara itu, selepas Leong Jung Hao semakin konsisten mencipta kejutan ke atas pemain ranking lebih tinggi.
Terbaharu, Jun Hao melangkah ke suku akhir Terbuka Indonesia, selepas menundukkan pemain berpengalaman Chinese Taipei, Chou Tien Chen yang menghuni tangga ke-11 dunia, dalam aksi yang cukup menghiburkan di Istora Senayan.
Memenangi set pertama 21-18, Jun Hao yang berada di ranking ke-32 dunia, terus mempamerkan permainan pantas dan menyerang hingga memukau penonton dengan permainan rali panjang.
Meskipun tunduk 13-21 pada set kedua, dia bangkit memenangi set penentuan 21-17, untuk melangkah ke suku akhir kejohanan bertaraf Super 1,000 itu.
“Dia (Tien Chen) pemain berpengalaman dan sentiasa sukar untuk ditundukkan.
“Saya meneruskan rentak permainan laju pada set penentuan untuk mendapatkan satu demi satu mata, tanpa memikirkan soal kalah atau menang.
“Apabila melihat ada peluang baik mematikan bulu tangkis, saya lebih agresif dan berjaya,” kata Jun Hao, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas memenangi perlawanan.
Pada pusingan pertama, Jun Hao mengejutkan pemain nombor 3 dunia, Jonatan Christie, manakala pada Terbuka Singapura minggu lalu, dia mengejutkan pemain nombor 9 dunia, Anthony Sinisuka Ginting.
Pada aksi suku akhir pada Jumaat, Jun Hao akan berdepan pemain nombor 6 dunia dari China, Li Shi Feng, satu lagi lawan gergasi buatnya.