AKSI lebih kemas ketika bertahan menjadi isu pokok buat gandingan negara, Pearly Tan dan M. Thinaah menjelang aksi suku akhir Seluruh England 2026 awal pagi esok, selepas melangkah bergaya melepasi pusingan kedua di Birmingham.

Pasangan beregu wanita nombor dua dunia itu menewaskan gandingan Korea Selatan, Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo 21-14, 21-14 dalam tempoh 43 minit untuk mengesahkan tempat ke kelompok lapan terbaik kejohanan berprestij berkenaan.

Bagaimanapun, Thinaah mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutama ketika berdepan tekanan lawan.

“Kami sangat gembira dengan kemenangan hari ini tetapi masih ada perkara yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi pertahanan kerana ada beberapa pukulan yang kami belum bersedia apabila lawan memberi tekanan,” katanya, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menurutnya, walaupun terdapat kelemahan kecil, mereka tetap melihat banyak perkara positif daripada perlawanan itu untuk dibawa ke aksi seterusnya.

Sementara itu Pearly menjelaskan variasi pukulan lawan terutama daripada pemain yang Yeon Woo memberi cabaran tambahan kepada mereka sepanjang perlawanan.

“Pukulannya ada banyak variasi, ada yang lembut dan ada yang tajam, jadi semasa bertahan kami perlu pastikan bulu tangkis melepasi dia dan itu agak mencabar buat kami,” ujarnya.

Pearly dan Thinaah dijadual bertemu pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meliysa Trias Puspitasari di suku akhir dengan rekod pertemuan memihak mereka 4-1, namun pasangan negara tewas dalam pertemuan terakhir di Terbuka Malaysia Januari lalu.