PELUANG beraksi pada kejohanan berstatus Super 1,000 sememangnnya diimpikan pemain badminton, namun bagi beregu lelaki negara yang sedang meningkat naik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, mereka tiada daya untuk memilih siapa lawan dan hanya bergantung kepada nasib.

Pada Terbuka Malaysia yang akan berlangsung bulan depan, gandingan muda negara itu berdepan tugas sukar apabila diundi menentang bekas gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya seawal pusingan pertama.

Berdasarkan rekod pertemuan, Wei Chong-Kai Wun dan Marcus-Kevin pernah bertemu sekali di Terbuka Jepun, Ogos lalu, yang menyebelahi gandingan Indonesia.

 

Wei Chong-Kai Wun kini di ranking ke-19 dunia, bagaimanapun bertekad menebus kekalahan lalu.

Justeru, beraksi di hadapan penyokong sendiri di Axiata Arena, diharap membangkitkan semangat luar biasa.

“Kita punya undian memang agak tough apabila bertemu Kevin dan Gideon pada pusingan pertama nanti (Terbuka Malaysia).

“Tapi kita sudah buat persediaan rapi untuk menentang mereka dari awal bulan ini. Apa yang penting pada perlawanan itu kena all out sebab kejohanan ini bukan kecil,” kata Wei Chong.

Pada saingan Terbuka Jepun, Ogos lalu, Wei Chong-Kai Wun tewas kepada Marcus-Kevin 21-23, 19-21.

Dalam pada itu, Kai Wun tetap mahu berwaspada dengan ‘The Minions’: “Kita tahu persembahan mereka (Kevin-Marcus) tahun ini ada turun naik. Malah sebelum ini juga kita pernah menentang mereka dan kami tidak tewas dengan mudah.”