BEREGU lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mempamerkan aksi konsisten apabila melangkah ke suku akhir kali kedua berturut-turut, selepas melepasi ranjau pusingan kedua Terbuka Singapura, pada Khamis.

Selepas terkandas di suku akhir Masters Malaysia minggu lalu, Nur Izzuddin-Sze Fei mempamerkan prestasi memberangsangkan pada Terbuka Singapura yang bertaraf Super 750, apabila menyingkir pasangan nombor lapan dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China, yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Izzuddin-Sze Fei yang tidak layak ke Olimpik Paris dan menghuni ranking ke-14 dunia, menampilkan aksi cemerlang apabila mencatat kemenangan 21-13, 21-16 dalam tempoh 40 minit pada aksi pusingan kedua di Stadium Tertutup Singapura.

Kemenangan itu menyaksikan naib juara Asia berkenaan berjaya melunaskan dendam mereka ke atas Yu Chen-Xuan Yi selepas tewas dalam pertemuan terakhir di Terbuka India, Januari lalu.

“Kami bermain dengan baik sejak dari set pertama dan kami berjaya mengawal rentak permainan dalam perlawanan hari ini.

“Saya fikir kunci kemenangan kami dalam perlawanan hari ini adalah komunikasi. Kami sentiasa berbincang untuk setiap mata yang kami raih,” kata Sze Fei, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), selepas tamat perlawanan.

Izzuddin-Sze Fei akan bertemu pemenang perlawanan antara pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dengan He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Sementara itu, beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menyingkirkan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 21-17, 21-18 dalam tempoh 40 minit.

“Saya rasa perlawanan ini lebih kepada diri kami, percaya sesama sendiri atau tidak.

“Sejak awal lagi kami bermain dengan corak yang betul tetapi gagal memainkan peranan masing-masing dan gagal membiasakan diri dengan perlawanan,” kata Ee Wei, selepas tamat perlawanan.

Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan ujian getir dalam misi untuk melangkah ke separuh akhir apabila dijadual bertemu juara dunia yang juga pilihan keempat kejohanan dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dalam aksi suku akhir pada Jumaat.

Dalam pada itu, nasib berbeza dialami beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang muncul juara Masters Malaysia, Ahad lalu, apabila terpaksa menarik diri di set ketiga ketika ketinggalan 22-20, 11-21, 1-11 kepada pasangan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong gara-gara Soon Huat mengalami kecederaan.