KEM perseorangan negara akan mendapat latihan fasa akhir bertaraf dunia apabila dijadual menyertai kem intensif bersama pemain utama Denmark sebagai persiapan terakhir menjelang Kejohanan Dunia di Paris, hujung bulan depan.
Leong Jun Hao dan K Letshanaa akan memikul cabaran utama negara dalam perseorangan lelaki dan wanita, manakala Justin Hoh turut dibawa sebagai rakan sparring bagi melengkapkan skuad latihan di Copenhagen itu.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen berkata, peluang berlatih di pusat latihan kebangsaan Denmark, membuka ruang buat pemain Malaysia mendapatkan rakan regu lebih berkualiti selain menyesuaikan diri lebih awal di Eropah.
“Saya membuat permintaan kepada mereka untuk menyertai latihan pra kejohanan dan ini sangat penting untuk pemain menyesuaikan diri dengan zon masa, cuaca dan suasana latihan berbeza sebelum turun gelanggang sebenar di Paris,” katanya.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Kenneth Jonassen, berjaya mendapatkan latihan fasa akhir berkualiti untuk perseorangan negara.
Jonassen yang juga bekas ketua jurulatih Denmark menjangkakan kehadiran pemain ternama seperti Viktor Axelsen dan Anders Antonsen dalam kem latihan itu sekali gus akan mempercepat proses adaptasi serta menajamkan permainan pemain negara.
“Denmark mempunyai ramai pemain berkualiti, jadi ia peluang untuk kami ubah pendekatan latihan dan beri pengalaman lebih luas kepada pemain,” jelasnya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.
Skuad perseorangan negara dijangka menjalani latihan intensif di Denmark seminggu sebelum kejohanan bermula.
Kejohanan Dunia di Paris akan berlangsung dari 25 Ogos hingga 1 September, dengan skuad kebangsaan bakal berlepas selepas tiga minggu latihan fasa akhir di tanah air.