NAIB juara Piala FA, Terengganu FC (TFC) mencerahkan peluang memburu slot ke Piala AFC 2023 setelah mengalahkan Sabah FC 2-0 di laman sendiri, Sabtu malam.
Anak-anak buah Nafuzi Zain itu bermula langkah kanan menerusi percubaan awal Manuel Ott yang ditepis penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat.
Berpunca sepakan sudut diambil Petrus Shitembi, Pape Diakite menanduk kemas bola hantaran pemain Namibia itu untuk gol pembukaan pada minit ketujuh.
Ketinggalan satu gol, The Rhinos hampir mengikat kedudukan pada minit ke-12 namun tolakan Irfan Fazail berpunca hantaran Saddil Ramdani disekat penjaga gol TFC.
30′ GOL | Nik Sharif Haseefy menjaringkan gol kedua TFC!@FCTerengganu 2-0 @SabahFCofficial #LigaSuper2022 pic.twitter.com/X9J9K5HoEI
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) October 1, 2022
Tuan rumah sebaliknya terus ceria apabila gerakan Faisal Abdul Halim dari sebelah kanan disudahkan Nik Sharif Haseefy dan menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-30.
Aksi babak kedua terus rancak dengan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan menyaksikan tandukan Park Taesu (m-52) dinafikan Mohd. Suhaimi Husin.
Dua minit kemudian giliran Kipre Tchetche mencemaskan kubu Sabah FC malangnya bola tolakan pemain Ivory Coast itu dikeluarkan Dominic Tan di atas garisan gol.
Nasib malang menimpa pelawat apabila bek kanan, Mohd. Rizal Ghazali diarah keluar padang gara-gara layangan kad kuning kedua pada minit ke-76 setelah mengasari Hakimi Abdullah.
Kedudukan 2-0 berjaya dipertahankan TFC untuk kemenangan berharga dan naik ke tangga ketiga Liga Super berbaki tiga perlawanan di tempat lawan.