KEDAH Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC sekali lagi bakal berentap bagi merebut kejuaraan Unity Cup pada Februari tahun depan.

Perlawanan yang melibatkan dua jaguh bola sepak Utara itu adalah usaha kepimpinan tertinggi dalam mengekalkan kesepakatan serta perhubungan yang akrab antara dua pasukan yang terjalin sejak sekian lama.

Media Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam laman rasminya memaklumkan perkembangan terbaharu ini.

“Satu mesyuarat diadakan semalam antara pengurusan Kedah Darul Aman Football Club dan Perak Football Club bagi membincangkan perlawanan tahunan antara kedua-dua pasukan.

“Selepas perbincangan, siri perlawanan persahabatan bagi merebut Unity Cup yang sebelum ini dikenali sebagai Unity Shield merupakan perlawanan tahunan antara pasukan Liga Super Kedah dan Perak.

“Tarikh perlawanan masih dalam pengesahan akhir, dijangkakan sekitar minggu kedua bulan Februari 2023,” tulis kenyataan itu pada Rabu.

Hadir dalam mesyuarat adalah Khamal Idris Ali, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC bersama barisan pengurusan terdiri dari Shahrul Samsudin, Ketua Pegawai Operasi KDA FC, Tajul Arifin Kamal Baharin, Ketua Pegawai Pemasaran & Media KDA FC, Mohamad Faraok Ismail, Pegawai Infrastruktur KDA FC dan Amirul Nizam Mahdzir, Setiausaha KEFA.

Manakala Perak FC diwakili oleh Meor Azli Meor Mahmod, Ketua Pegawai Operasi Perak FC, Neow Choo Seong, Pengarah Pembangunan Belia Perak FC dan Zubir Shaharani, Pegawai Tadbir Perak FC.

Edisi pertama yang berlangsung pada 2019 di Alor Setar dihadiri 25,000 penyokong dimenangi oleh Kedah dan edisi kedua pada 2020 di Ipoh berpihak kepada pasukan tuan rumah, Perak.

Kembalinya saingan perlawanan persahabatan musim baru ini pasti menarik dengan kedua-dua pasukan KDA FC dan Perak FC dalam proses bermula semula membina pasukan yang diketuai oleh Nafuzi Zain dan Lim Teong Kim.