DISIPLIN adalah kunci utama jika mahu bergelar juara Olimpik.

Itu penegasan jurulatih beregu lelaki yang baharu, Herry Iman Pierngadi, yang meletakkan elemen itu sebagai asas kejayaan pemain.

“Disiplin adalah nombor satu… merangkumi semua aspek. Pemain kena kerja keras, sentiasa bermotivasi tinggi dan ia perlu konsisten,” kata jurulatih berusia 63 tahun dari Indonesia, yang bakal memulakan tugas rasminya bersama skuad negara esok.

Bagi Herry, tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan.

Aaron Chia-Wooi Yik, satu-satunya beregu lelaki kebangsaan yang pernah meraih pingat di Sukan Olimpik.

Kejayaan memerlukan pengorbanan dan komitmen total, terutama ketika pemain berdepan detik sukar.

“Setiap pemain pasti ada turun naiknya tetapi ketika mereka berada di tahap paling bawah, itu yang paling penting untuk kita jaga.

“Semuanya perlu secara totalitas… disiplin, komitmen, motivasi dan perjuangan. Boleh dibilang kepala jadi kaki, kaki jadi kepala, itu maksud totalitas,” tegasnya.

Terkenal dengan julukan ‘Naga Api’ di Indonesia, Herry bukan nama asing dalam dunia badminton.

Beliau pernah membimbing juara Olimpik seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).

Hendra Setiawan, antara beregu lelaki yang dinaikkan Herry IP. Hendra pernah memonopoli beregu lelaki dunia ketika berpasangan dengan Markis Kido dan juga Mohammad Ahsan.

Malah, hasil sentuhannya turut melahirkan pasangan bertaraf dunia seperti Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan serta Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Kini, cabaran baharu menanti di Malaysia. Fokus utamanya? Mengenali karakter setiap pemain negara.

“Setiap pemain itu tidak sama, masing-masing ada karakter tersendiri. Saya sebagai jurulatih harus dekat dengan pemain bagi mengetahui karakter mereka,” katanya.

Dengan rekod gemilang yang dimilikinya, mampukah Herry mampu membawa beregu lelaki Malaysia ke puncak Olimpik? Satu perkara pasti, tanpa disiplin, impian itu hanya akan tinggal angan-angan.