JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menghadiahkan kekalahan ke-15 buat Kelantan United FC selepas menang 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Sabtu.

Tiada jaringan berjaya dijaringkan JDT sekalipun rentetan serangan dijana ke kubu Kelantan United menyaksikan perlawanan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Tampil bertenaga selepas tewas 1-3 di tangan Ulsan Hyundai dalam saingan Liga Juara-Juara Asia, Selasa lalu JDT yang dibimbing Esteban Solari tampak garang sejurus wisel permainan dimulakan termasuk melakukan penggiliran dalam kesebelasan utama.

Sebaliknya, tuan rumah menampilkan disiplin tinggi mengekang setiap asakan pelawat termasuk kekebalan Shahril Sha’ri yang mengemudi posisi penjaga gawang KUFC.

Ketumpulan di bahagian serangan mengubah fikiran Solari memasukkan Bergson Da Silva dan Akhyar Rashid pada babak kedua namun kekurangan idea depan kotak penalti.

Selepas berhempas-pulas selama 74 minit, Fernando Forestieri berjaya mencetak nama sebagai penjaring selepas menerima lorongan Arif Aiman Hanapi sebelum tenang menolak masuk gol pendahuluan JDT.

Bergson melengkapkan tiga mata di bawa pulang ke Iskandar Puteri dengan ledakan padu kaki kiri pada penghujung permainan.

May be an image of 8 people, people playing football, people playing American football and text

Untuk rekod, JDT memenangi kejuaraan Liga Super ke-10 berturut-turut dengan baki empat perlawanan tiga minggu lalu. Harimau Selatan telah memenangi 22 daripada 23 perlawanan.

Mereka kini memiliki 67 mata, berkelebihan 15 mata langsung tidak dapat diatasi Selangor FC di tempat kedua, yang mengumpul 52 mata.

Perak FC akan menjadi lawan seterusnya menjelang pertembungan separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 2 November ini.