EKSKLUSIF

PERSATUAN Bola Sepak Maldives (FA Maldives) berharap Malaysia sudi untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan negara itu, dalam usaha membentuk skuad kebangsaan lebih mantap.

Presidennya, Bassam Adeel Jaleel berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan berharap Datuk Hamidin Mohd Amin mempertimbang pelawaannya.

“Malaysia memiliki pasukan yang bagus dan berada di ranking lebih atas daripada kami. Saya sudah membuat permohonan kepada Presiden FAM Datuk Hamidin dan saya positif dengan hubungan baik antara FA Maldives dan FAM akan semakin kukuh.

“Perlawanan persahabatan antarabangsa menentang skuad kebangsaan Malaysia amat penting kepada kami dalam usaha membina pasukan lebih kuat,” kata Bassam Adeel kepada FLASH SUKAN sambil menyatakan Maldives mengidam untuk melayakkan diri ke Piala Asia suatu hari nanti.

Beliau ditemui di Hotel Mandarin Oriental, di sini pada Jumaat.

Bassam ketika diwawancara wartawan FLASH SUKAN.

Menurutnya, setakat ini FAM belum memberi jawapan kepada permintaannya itu namun beliau memberi gambaran perlawanan terbabit dijangka berlangsung Disember nanti.

Beliau berkata, hubungan FA Maldives dan FAM sudah lama terjalin dan FAM banyak membantu, termasuk menerima pemain negara itu beraksi sebagai pemain import dalam Liga M.

Untuk rekod, bekas kapten pasukan kebangsaan Maldives, Ashfaq Ali pernah beraksi bersama PDRM pada musim 2014.

Ketika ini, Maldives menduduki tangga 154 dunia manakala Malaysia berada di ranking ke-146 dalam senarai terkini dikeluarkan badan induk bola sepak dunia, FIFA.