TERENGGANU FC muncul antara kelab yang mencuri tumpuan musim ini bukan sahaja dengan barisan pemain bintang yang beraksi di dalam padang tetapi juga kejayaan di luar padang terutama dari segi penajaan kelab.

Skuad Penyu dilihat bersungguh-sungguh dalam mencari penaja bagi memastikan kelancaran kewangan bagi menghadapi musim Liga Malaysia 2024-25 hasil usaha sama semua pihak baik dari kelab mahupun exco kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim mengesahkan Terengganu FC berjaya menarik penajaan berjumlah lebih RM 8 juta dari keseluruhan 22 penaja untuk musim 2024-25.

Hishamuddin Abdul Karim berucap di Majlis Apresiasi Hi-Tea Penaja Terengganu FC (kredit foto: FB YB Hishamuddin)

Hishamuddin mengumumkan perkara ini ketika Majlis Apresiasi Hi Tea Penaja serta pengenalan jersi rasmi Terengganu Football Club di sebuah hotel terkemuka di Kuala Terengganu pada Khamis.

“TFC secara keseluruhan mempunyai 22 syarikat penaja dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM8.332 juta yang terdiri daripada RM6.310 juta bagi tajaan wang tunai dan RM2.022 juta bagi tajaan perkhidmatan.

“Kerjasama daripada para penaja di dalam mengharungi musim Liga Malaysia amatlah dialu-alukan sekaligus membantu TFC dalam mengharungi musim 2024-25 dengan baik serta memberi manfaat kepada semua penaja di dalam setiap urusan sama ada perniagaan mahupun jenama.

“Terima kasih kepada semua penaja yang sentiasa memberi komitmen penuh kepada pasukan TFC. Diharapkan setiap usaha yang dilaksanakan oleh kita akan sentiasa diberkati oleh Allah SWT,” katanya.

Kerjasama baik antara kelab dan kerajaan negeri beri kesan baik kepada bola sepak (kredit foto: FB YB Hishamuddin)

Kejayaan TFC dalam menarik penaja membuktikan senario bola sepak Malaysia sememangnya mendapat sambutan meluas daripada syarikat korporat serta badan berkanun dan perkara ini boleh dijadikan contoh oleh semua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia.

Kejayaan ini juga sudah pasti akan menjadi pendorong buat TFC untuk beraksi cemerlang di mana pasukan sudah memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan selepas memenangi perlawanan pertama keatas Perak 3-1.