KETUA jurulatih Harimau Malaya B-16, Javier Jorda Ribera, menyifatkan kemenangan tipis ke atas Hong Kong hadir pada masa yang tepat dan membuktikan kemampuan pasukannya mengurus tekanan jadual padat serta keperluan penggiliran pemain.

Baginya, inilah tanda pasukan muda negara semakin matang dalam aspek taktikal dan kawalan emosi dalam perlawanan terutama yang penting buat pasukan.

“Kemenangan ini membantu kami menguruskan perlawanan sukar, terutama dari segi pemulihan pemain dan mengekalkan momentum positif,” katanya.

Ribera menjelaskan bahawa Malaysia terpaksa melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama selepas beraksi hanya 48 jam sebelumnya selain berdepan beberapa kecederaan kecil serta tiga lagi perlawanan menanti minggu ini. Namun beliau memuji disiplin serta kecerdikan anak buahnya mengikut perancangan permainan yang ditetapkan.

“Pada separuh masa pertama, kami mendominasi dan mencipta peluang jelas untuk membuka jaringan. Kami cuba menyerang dari bahagian tepi dan juga ruang tengah,” ujarnya.

Pada rehat separuh masa, fokus utama Ribera ialah mengawal emosi dan mengurangkan transisi tidak perlu bagi mengekalkan tenaga pemain. Malaysia kemudian mengubah pendekatan dengan menyerang terus ke arah kelemahan Hong Kong di bahagian sayap  dan percaturan itu membuahkan hasil.

“Pendekatan itu berhasil. Setelah kami menjaringkan gol pertama, Hong Kong mula memecahkan permainan kepada dua bahagian dan kami mendapat lebih banyak ruang untuk menyerang. Kami jelas pasukan yang lebih baik dan mendominasi sebahagian besar permainan” jelasnya.

Mengulas mengenai aksi ketiga menentang Macau malam esok, Ribera memberi peringatan bahawa lawan berkenaan adalah pasukan yang sangat disiplin, tersusun ketika bertahan dan berbahaya melalui serangan balas. Macau turut mencatat keputusan 1-1 menentang Singapura.

“Kami sekali lagi perlu lakukan penggiliran pemain, memilih pemain terbaik berdasarkan prestasi dan tahap fizikal. Objektif kami jelas untuk meraih tiga mata lagi,” tegasnya.

Malaysia menutup perlawanan semalam dengan kemenangan 1-0 ke atas Hong Kong, kemenangan kedua dalam kempen Kumpulan C Kelayakan Piala Asia B-17 2026 di Hanoi, sekali gus membawa keyakinan besar menjelang pertemuan penting menentang Macau.