
“Terima kasih ayah!” – Kisona

PEMAIN perseorangan wanita negara, Kisona Selvaduray yang sebelum ini mengumumkan pengunduran diri dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini telah mendapat penaja baharu Matrix Concept bagi membantunya kembali beraksi di peringkat tertinggi kejohanan antarabangsa.
Kisona juga turut meluahkan penghargaan kepada ayahnya kerana berhempas pulas ingin mendapatkan penajaan bagi memastikannya kembali bersaing di peringkat tertinggi kejohanan antarabangsa.
“Saya hendak mengucapkan terima kasih kepada ayah saya kerana menghantar surat rasmi ke pejabat Matrix.
“Kita pun sudah cari penaja dekat empat bulan selepas saya keluar dari BAM. Saya sangat teruja dan merendah diri kerana mendapat tajaan dari Matrix Concept. Ia merupakan harapan baharu bagi saya kerana dengan penaja ini, saya mampu meneruskan karier,” ujarnya.
Dengan bimbingan jurulatih baharu iaitu Mohamad Zakry Abdul Latif dan Muhammad Arif Abdul Latif, Kisona menegaskan dia kini mempunyai lebih ramai rakan sparring di kalangan pemain lelaki berbanding ketika berada di BAM sebelum ini.
Biarpun terpaksa mengerah keringat kerana terpaksa bersaing dengan pemain lelaki, namun Kisona mengakui ia merupakan suatu yang positif bagi dirinya kerana mendapat pendedahan yang intensif dan berintensiti tinggi.
“Perjalanan saya sekarang saya berlatih dengan jurulatih Zakry Latif dengan dibantu Arif Latif. Sekarang latihan sangat sukar dan berintensiti tinggi. Rakan sparring saya semuanya lelaki. Beradu tenaga lebih dengan pemain lelaki, ia bagus juga untuk prestasi saya.
“Saya dapat pendedahan berbeza sebab masa di BAM, saya jarang hendak keluar dan jarang dapat sparring berbeza tetapi sekarang ianya berbeza,” katanya.
Dalam masa yang terdekat, pemain berusia 24 tahun itu enggan meletakkan sebarang sasaran atau kemenangan pada ketika ini kerana baharu sahaja berada di bawah bimbingan jurulatih baharu, Mohd Zakry Abdul Latif.
Namun, dia berjanji akan mempamerkan peningkatan dan persembahan meyakinkan serta positif berbanding semasa berada di bawah naungan badan induk badminton negara.
“Ini baharu permulaan. Dalam kejohanan terdekat, saya tidak pasti samada boleh menang. Saya tak boleh cakap mesti ada keputusan, tetapi saya akan menunjukkan kepada masyarakat peningkatan dan prestasi yang baik setelah saya keluar dari BAM,” jelasnya.
Kisona menerima perjanjian tajaan sebanyak RM100,000 daripada Matrix Concepts Holdings Bhd bagi meneruskan kariernya sebagai pemain badminton profesional