BEKAS pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak menzahirkan ucapan terima kasih kepada majikan yang meyakini perkhidmatannya sepanjang tempoh empat musim berkhidmat.
Menerusi hantaran yang dimuatkan di Facebooknya pada Selasa, Aidil kini akan kembali pulang ke tanah air di Singapura sebelum menantikan sebarang tawaran baharu selepas ini.
“Terima kasih Kedah memberi rezeki kepada saya selama empat tahun, saya di sanjungi dikeji dan dimaki.
“Tapi itu lumrah hidup. Ada pasang dan surutnya. Tapi Allah lebih mengetahui. Jadi berdiam lebih baik.
“Rezeki itu adalah ujian, kuncinya ialah sentiasa bersyukur dan sabar. Sudah sampai masanya untuk saya pulang ke negeri saya sebelum perjuangan seterusnya untuk keluarga saya.
“Jika satu pintu rezeki hamba Allah tertutup akan Allah buka pintu yang lain yang lebih baik. Insyallah. Aidil signing off,” ujar Aidil.
Ketua Jurulatih kelahiran Singapura itu membantu Kedah muncul Juara Piala FA 2019, Naib Juara Liga Super pada musim 2020 dan 2021 serta layak ke peringkat Separuh Akhir Zon Asean Piala AFC 2022.
Dia membantu Kedah membawa Kedah selama tiga tahun berturut-turut ke pentas Asia dengan layak ke perlawanan playoff Liga Juara-Juara AFC 2020 dan ke saingan Piala AFC pada tahun 2021 dan 2022.