PEMAIN tengah Perak FC, Sunday Afolabi menyifatkan kehadiran lebih 14,000 penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada skuad The Bos Gaurus menentang Sabah FC, malam Isnin adalah permulaan yang baik.

Dalam perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia, skuad Yob yang dibimbing Yusri Che Lah mencatat kemenangan agregat 3-2 dalam aksi di Stadium Perak, Ipoh.

Malah, tanpa berselindungan anak kelahiran Abuja, Nigeria itu amat berterima kasih kepada penyokong setia Perak yang hadir memberikan sokongan kepada mereka pada perlawanan itu.

“Kami ke separuh akhir. Kami amat menghargai beribu-ribu penyokong kami untuk tampil untuk menjadikan kami 12 pemain di padang walaupun beraksi pada hari Isnin.

 

“Kemenangan ini adalah untuk peminat kami yang luar biasa, kami layak untuk bersama-sama sebagai satu pasukan.

“Kami terus berjuang hingga akhir… permainan belum berakhir,” katanya yang memiliki ketinggian 1.88 meter.

Perak dijadual bertemu pasukan selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim pada peringkat separuh akhir pertama di Iskandar Puteri, 20 Oktober depan sebelum perlawanan timbal balik di Ipoh pada 3 November 2023.

 

Berdasarkan rekod, Perak menamatkan kemarau 18 tahun trofi Piala Malaysia dengan penuh dramatik menerusi penentuan penalti 4-1 ke atas Terengganu FC, lima tahun lepas di Stadium Shah Alam.

Ini juga kali pertama, skuad Seladang mara ke fasa pasukan empat terbaik sejak kali terakhir pada 2018.